Weblog Husam Musa I Kelantan

Naib Presiden PAS yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan, pernah menjadi Anggota Parlimen Kubang Kerian dan kini adalah ADUN Kijang, Kelantan.


Limpahan projek tidak mampu lenakan Umno Kelantan

RANCANGAN Malaysia Ke-9 merupakan ujian getir bagi Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mencatur strategi politiknya. Ini kerana terdapat desas-desus mengatakan kesemua tender-tender besar sudah ada 'pemiliknya' - cuma menunggu lampu hijau untuk memulakan kerja.

Cerita-cerita tentang kegagalan lebih kurang 2,000 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 dan juga kegagalan pembayaran berjumlah RM24 billion kepada kontraktor-kontraktor yang terlibat menambah lagi resah Perdana Menteri bagi mengatur RMK-9.

Dengan angka-angka yang memburukkan reputasi RMK-8, adakah dapat Abdullah mampu mengilap RMK-9 menjadi permata yang gemilang lagi terbilang seperti diimpi-impikannya.

Sebaliknya bagi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa, inilah masa yang terbaik untuk terus menunjukkan kehebatannya selepas dilenakan dengan isu PPRT.

Beliau tanpa segan silu mendakwa kesungguhan Umno Kelantan memperjuangkan hak rakyatlah yang menyebabkan negeri tersebut mendapat peruntukan besar sebanyak RM7.6 bilion untuk tempoh lima tahun.

Begitu juga dengan universiti di Kelantan yang didakwa hasil perjuangannya. Tanpa menghirau hasrat awalnya supaya Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dibina di Kok Lanas, beliau terpaksa beralah juga apabila Bachok dan Jeli dijadikan kampus unversiti tersebut.

Bagaimanapun beliau dikatakan terpaksa naik turun pejabat Dato' Seri Hishamuddin Hussein pula untuk mendapatkan sebuah pusat matrikulasi dibina di Kok Lanas.

Di tengah-tengah kemelut Umno Kelantan mencari identiti, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kelantan, Mohd Affandi Yusof pula tiba-tiba memperlekehkan hasrat Dewan Pemuda PAS mengumpul kira-kira 15,000 pemuda dari seluruh Malaysia untuk menunjukkan kesediaan Pemuda mempertahankan kerajaan PAS.

Sebaliknya beliau menyindir perhimpunan itu dianjurkan kerana PAS sudah mula terasa akan kehebatan dan kekuatan Umno yang semakin mendapat peruntukan besar daripada kerajaan Pusat.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan terbaru PAS dipercayai hasil dari kesungguhan kerajaan BN menunaikan janji seperti dicanang dalam RMK-9.

Sebaliknya, Mohd Affandi mungkin lupa setiap bahagian Umno di Kelantan diletak di bawah pengawasan Badan Perhubungan Negeri-Negeri di Malaysia.

"Sekiranya Umno Kelantan sudah kuat dan selesa dengan projek di bawah RMK-9, mengapa pula setiap bahagian dijadikan anak angkat kepada Perhubungan Umno dari negeri-negeri lain," kata Penyelia Parlimen Kuala Krai, Zamzuri Mat Lazim.

Satu tindakan yang semacam menampakkan ketidakpercayaan Abdullah terhadap pemimpin Umno Kelantan di bawah teraju Annuar.

Sedangkan tanpa disedari Umno negeri-negeri lain juga bergumang dengan masalah sendiri. Lihat isu wakil rakyat bina istana tanpa kelulusan PBT di Selangor dan macam-macam lagi 'noda' yang berlaku.

Fenomena yang berlaku itu secara tidak langsung menggambarkan Umno Kelantan begitu rimas sekarang biar pun Menteri Pengajian Tinggi mengakui ada mengatur pertemuan dengan Timbalan-timbalan Naib Cancelor HEP institusi pengajian tinggi awam bagi 'menawan' Kelantan.

Pertemuan sulit Mustapa dan TNC HEP berjaya dihidu sehingga Mustapa terpaksa membuat kenyataan kononnya dia difitnah. Sebaliknya beliau mengakui mempunyai hak untuk berjumpa dengan pegawai dan pelajar IPTA.

Malah petanda Umno semakin tenggelam dapat dilihat selepas Dato' Ahmad Rusli Ibrahim yang merupakan bekas Setiausaha Umno Kelantan mengisytiharkan kemasukan bersama PAS.

Kehadiran Rusli ternyata membuahkan hasil tidak sedikit. Ini termasuk apabila ceramah PAS berjaya diadakan di Kedai Batu 8, Kadok sedangkan sebelum ini ceramah PAS sudah hampir 15 tahun tidak dapat diadakan di situ.

Ia bermula apabila bekas AJK Umno Ketereh, Hussin Mat mengisytiharkan kemasukkan bersama perjuangan PAS.

Berdasarkan kepada situasi itu, sudah cukup membuatkan Annuar, Mustapa dan Dato' Dr AWang Adek Hussin terpaksa membina benteng peribadi.

Mereka tidak mampu lagi mengharap tuah Umno, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melihat parti itu sudah hilang hala tujunya. Kalau di Jeli, Umno ada kompleks Bukit Nangka, di Peringat ada kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan di Bachok, Dewan Besar dibina di atas tanah milik keluarga Awang Adek.

Lagi mendebarkan apabila diakui sendiri Annuar, YKK bukan sebuah pertubuhan berdaftar pada konvensyennya yang diadakan di sebuah hotel di Kota Bharu pada September lalu.

Jalan Pantai Cahaya Bulan Naik Taraf

KOTA BHARU 22 OKT - Usaha Kerajaan Negeri menaik taraf jalan Pantai Cahaya Bulan bakal menjadi kenyataan apabila Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana menteri bersetuju meluluskan cadangan menjadikan jalan tersebut sebagai jalan pelancongan

Sebanyak RM 3.2 juta akan dibelanjakan untuk melebar serta mengelokkan jalan sedia ada selari dengan spesifikasi jalan pelancongan. Penaikan taraf ini termasuklah, pemasangan lampu jalan sepanjang jalan bermula dari persimpangan Kedai Buloh sampai ke Pantai Cahaya Bulan.

Tawaran tender telah dikeluarkan dan dijangka kerja-kerja pembinaan akan bermula akhir tahun ini.

Perkara ini disebut oleh Dato’ Haji Husam Musa, Exco Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, semasa di pejabatnya pagi tadi.

“Insyallah, dengan jalan yang lebih baik, akan memberikan keselesaan kepada pengguna setempat, mahupun para pelancong”. Beliau berkata.

Armalah dapat peruntukan RM5 juta tahun depan

KOTA BHARU, 17 Okt (Hrkh) – Menyedari kesempitan hidup yang terpaksa ditanggung golongan armalah (ibu tunggal), kerajaan negeri rasa terpanggil bagi memikul tanggungjawab itu dengan menambah lagi jumlah peruntukan untuk mereka.
Tahun hadapan peruntukan khas kepada armalah akan ditambah menjadi RM5 juta, berbanding RM3 juta yang disediakan sekarang.


Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, peruntukan itu ditambah memandangkan berlaku peningkatan jumlah armalah.

“Di samping itu juga kita bercadang menambahkan sedikit jumlah sumbangan yang diberi kepada setiap armalah,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 670 penduduk miskin dari Dun Kijang di Balai Armalah dekat sini.

Menurutnya, golongan armalah dan anak-anak yatim di Dun Kijang mendapat peruntukan sebanyak RM180,000 tahun ini yang diagihkan sejak awal Ramadan lagi dan kali terakhir Sabtu ini.


Husam juga berkata, kakitangan kerajaan negeri turut mendapat cuti umum pada 26 Oktober ini iaitu selaras dengan keputusan dibuat di peringkat Pusat.

Perlindungan Takaful Berkelompok Untuk Warga Emas

15 Okt: kota bharu – Bermula tahun depan kerajaan Kelantan akan melaksanakan skim perlindungan takaful berkelompok untuk warga emasnya. Skim akan melibatkan seramai 110 ribu orang warga emas berumr diantara 60 hingga 75 tahun dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM 3 juta.

Perkara ini dinyatakan oleh Dato’ Haji Husam Musa, exco Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat, semasa majlis penyampaian bantuan hari raya kepada lebih 60 orang kurang upaya (OKU) dan pesakit penyakit kronik di Masjid Tengku Mohani, Kedai Buluh petang kelmarin.

“Skim perlindungan takaful ini adalah salah satu cara pihak kerajaan dalam menghargai warga emas” Haji Husam berkata. Jumlah ini melibatkan keseluruhan warga emas Kelantan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik mereka, tambah beliau lagi.
Skim itu nanti akan diberi keutamaan kepada warga emas yang daif, miskin dan mempunyai tanggungan ramai. Setiap mereka akan dicarum sebanyak RM25 setahun.
Husam juga berkata, bagi Tabung OKU kerajaan negeri akan menaikkan jumlah peruntukan daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai tahun hadapan. Dimana pihak penerima akan menerima bantuan dua kali setahun berbanding sekarang hanya sekali setahun.

Rasai kelainan Ramadan di Kelantan

Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 27 Sept (Hrkh) - Suasana Ramadan di Kelantan berlainan berbanding tempat-tempat lain, benarkah demikian. Malah, Ramadan juga dijadikan bulan melancong ke negeri ini sejak lebih 10 tahun lalu.

Ia dapat dibuktikan apabila khemah untuk bersolat Tarawih didirikan di tengah-tengah bandar bagi membolehkan orang ramai menunaikan solat sunat tersebut.
Pada awalnya pada 1991 khemah sementara itu didirikan berhampiran stesen bas SKMK, kemudian dipindah ke Dataran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB - BRI) pada 1997. Sejak diwujudkan ia mendapat sambutan menggalakkan.

Bagaimanapun mulai tahun lalu dipindah pula ke perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV, ekoran pembinaan Kota Bharu Trade Centre di Dataran MPKB BRI. Selain itu, masjid-masjid dan madrasah di seluruh Kelantan seperti hari Jumaat kerana sentiasa penuh dengan kehadiran orang ramai.

Malah, setiap pentang bandar Kota Bharu menjadi begitu sendat apabila orang ramai bersesak-sesak membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan yang diwujudkan termasuk di perkarangan stadium, Wakaf Che Yeh, Lorong Merican, Kubang Kerian dan banyak lagi.
Setiap petang bermula jam 3 Pasar Besar Siti Khadijah dan pasar-pasar utama lain juga penuh sesak dengan orang ramai. Suasana itu semakin terasa selepas kakitangan kerajaan negeri, persekutuan atau swasta pulang dari tempat kerja.

Antara jenis-jenis makanan yang sentiasa mendapat perhatian iaitu cendol, bubur, puteri mandi, akok, ayam percik, ikan bakar, kari ayam dan gulai daging kawah.
Kesesakan jalan raya juga turut berlaku di pinggir bandar termasuk di Kampung Sireh, Paloh, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, Kota Jembal dan Pintu Geng apabila orang ramai menyerbu gerai-gerai sementara yang diwujudkan di tepi-tepi jalan.
Misalnya ayam percik Kak Yah Mat Yaman juga menjadi tarikan utama di Jalan Pintu Geng.
Seorang kakitangan kerajaan Rohani Awang, 35 ketika ditemui di Pasar Cabang Tiga Pengkalan Chepa berkata, beliau tidak sempat memasak sendiri hidangan untuk keluarga.

"Walaupun keluar pejabat jam 3.45 petang kami tidak bererti terus keluar waktu itu, kalau nak masak sendiri, kena pergi pasar dulu, cari bahan-bahan lepas tu balik masak, kemudian anak-anak lagi.
"Tengok jam dah hampir jam 6 petang, bila nak masak, akhirnya saya ambil kesempatan untuk membeli yang sudah siap, kecuali hari minggu Jumaat dan Sabtu, baru saya masak sendiri," ujarnya.

Kesesatan jalan raya yang berlaku juga menyebabkan anggota penguatkuasa MPKB-BRI dan anggota polis terpaksa ditempatkan di tempat-tempat berkenaan.
Bagaimanapun sikap orang ramai yang suka meletakkan kenderaan sesuka hati menambahkan lagi kesesakan.

Sementara itu, sambutan orang ramai untuk menunaikan solat sunat Tarawih di khemah terbuka MPKB BRI lebih menggalakkan tahun ini berbanding tahun lalu.
Pengarah Pembangunan Islam MPKB-BRI, Ustaz Ropein Hassan berkata, ia dapat dibuktikan apabila tempat solat berkenaan hampir penuh sejak malam pertama, kedua dan ketiga.
"Berbanding pada tahun lepas hanya tiga saf sahaja, mungkin perkara itu berlaku disebabkan tahun lepas merupakan kali pertama kita berpindah tempat, jadi belum ada keserasian, namun Alhamdulillah tahun ini menggalakkan," ujarnya.

Beliau berkata, tarikan orang ramai kerana imam yang mengimamkan solat sunat Tarawih ialah pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Ustaz Loqman Ibrahim Al-Hafiz.
Tambahnya, selain itu juga beberapa lagi imam hafiz turut dijemput mengimami solat sunat Tarawih. Tazkirah juga diadakan setiap malam.

"Saya harap orang ramai khususnya warga bandar MPKB-BRI menunaikan solat sunat Tarawih beramai-ramai bagi memuliakan bulan yang penuh keberkatan ini," katanya.
Solat sunat Tarawih mula diperkenalkan pada Ramadan tahun 1991 yang dipelopori bekas ahli Majlis, Ustaz Wan Hassan Wan Othman. Ketika itu ia diadakan di Jalan Pendek Kota Bharu sebelum dipindah ke Dataran MPKB pada 1997.

Ropein juga berkata, MPKB BRI juga membekalkan teks tazkirah kepada juruhebah di semua pasar raya untuk dibaca dari semasa ke semasa sebagai peringatan bersama.
"Bukan itu sahaja, mereka juga tidak dibenarkan menyiarkan lagu-lagu irama pop atau sebagainya yang boleh melalaikan selain lagu-lagu nasyid dan ayat-ayat suci al-Quran," ujarnya.
Kakitangan MPKB-BRI turut berpeluang mendengar tazkirah di Bilik Mesyuarat Bunga Raya setiap hari bermula jam 12.30 tangahari hingga 1.30 petang.

Selain itu warga bandar yang datang ke bandar Kota Bharu berpeluang menikmati juadah berbuka puasa dengan bekalan nasi, kuih muih dan minuman di khemah terbuka MPKB BRI dan Masjid Muhammadi.

Di khemah MPKB BRI setiap malam juga diadakan sumbangan kepada fakir miskin yang diadakan selepas selesai solat Tarawih. Kuiz minda juga diadakan pada setiap malam Jumaat.
Qiamulai diadakan pada 10 hari terakhir Ramadan, program Belia Jejak Lailatul Qadar diadakan Pada 27 Ramadan ini bermula jam 3 pagi hingga Subuh. Dan di tempat yang sama diadakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.

Tiada isu lain, Sungai Kelantan jadi mangsa media

Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 26 Sept (Hrkh) - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob melahirkan rasa kesal terhadap agenda pihak tertentu yang cuba memburukkan kerajaan negeri sehingga air yang keruh di Sungai Kelantan didakwa sebagai kotor.
Katanya, sungai Kelantan tidak kotor seperti yang cuba digambarkan sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini. Sehubungan itu beliau berkata, pihak terbabit perlu pandai membezakan di antara keruh dan kotor.
"Kelantan tidak pernah melakukan aktiviti perlombongan di luar garis panduan ditetapkan sehingga berlakunya pencemaran sungai-sungai di negeri ini," katanya sebagai mengulas segmen air Sungai Kelantan kotor yang disiarkan sebuah stesen televisyen, baru-baru ini.
Menurut Ahmad air sungai keruh yang diambil pihak terbabit di Hulu Sungai Kelantan sebenarnya berlaku selepas hujan lebat di kawasan pedalaman.
"Semua orang tahu, air sungai mana-mana sekalipun kalau hujan lebat tentu warnanya berubah dan menjadi keruh. Setakat ini saya belum mendapat maklumat lagi adanya ikan-ikan yang mati kerana air sungai yang dianggap kotor.
"Ada sebuah negeri di negara ini sungainya begitu kotor sehingga ikan pun mati, tetapi di Kelantan tidak berlaku lagi kejadian tersebut," ujarnya.
Beliau juga berkata, pembangunan tanah kawasan hutan di negeri ini termasuk aktiviti perlombongan dilakukan mengikut piawaian ditetapkan serta mengikut nasihat pakar.
Tambahnya, kerajaan negeri hanya meluluskan kepada mana-mana syarikat yang mengikut sepenuhnya peraturan ditetapkan seperti menyediakan takungan air sebelum ia dilepaskan ke sungai.
"Mana-mana syarikat yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan kerajaan negeri, kita membatalkan segera kontrak mereka demi menjaga kualiti air dan alam sekitar,"ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau hasil kegiatan pembangunan dan perlombongan sedikit sebanyak memberi kesan kepada air sungai di kawasan berdekatan, namun masih dalam keadaan terkawal.
Baru-baru ini, stesen televisyen terbabit menyiarkan slot khas mengenai dakwaan pencemaran Sungai Kelantan. Namun, paparan yang dikemuka tidak dibuktikan melalui fakta yang tepat hanya sekadar cakap-cakap penduduk kampung dan Adun Dabong.

Kelantan

Posting isu-isu Kelantan disini




© 2006 Weblog Husam Musa I Kelantan | Theme this blog by Langkap Online.
Segalanya adalah hak milik yang hakiki kepada ALLAH SWT. Writen by Husam Musa
Dapatkan info tepat Info Tepat Anda | Segalanya bermula disinitvPAS.com